16 October 2018

Tips Copywriting Mudah dan Santai

Belajar tentang produk supaya senang nak tulis iklan (copywriting). Caranya ialah senaraikan seberapa banyak kebaikan atau manfaat produk yang dijual.

Kemudian pilih satu sahaja manfaat untuk dimasukkan dalam copywriting pendek. Dari situ kita akan dapat beberapa ayat. Lepas tu boleh pecah-pecahkan lagi mengikut targeted prospect atau market segmentation.

Jadi untuk satu produk sahaja kita boleh hasilkan berpuluh ayat iklan pendek dan santai. Kalau copywriting panjang lain pula cerita dia. Macam saya lebih prefer pada cw pendek dan santai.

P/S: Ini salah satu cara supaya tidak blur masa nak menulis. Kena rajin buat brainstorming. 😉

Let Go Kain Felt

Mula-mula update status ini di facebook...

Ada sesiapa kat sini yang buat kraf guna kain felt? Saya ada stok kain felt yang agak banyak. Dedulu rajin buat, sekarang malas campur busy. 🤣

Saya nak let go aje for free. Boleh datang ambik sendiri kat rumah atau saya poskan. Hari ni nak sambung mengemas rumah. 

Sudah enam bulan pindah rumah weh tak clear2 lagi barang dalam kotak. Takkan nak tunggu sampai tahun depan hahaha. 😆


Dan Alhamdulillah tak sampai sejam settle, sudah ada yang nak kain-kain felt tu. Banyakkk lebih kurang 11 meter semuanya. Saya dah tak ada masa campur malas nak buat kerja-kerja kraf sekarang ni. Jadi kita bagi sajalah pada sesiapa yang rajin.

Tak sayang ke bagi free? 

Tak sayang pun. Baik bagi orang ada manfaatnya pada penerima. Saya memang tak pernah jual barang terpakai. Semuanya let go for free saja. Kain felt ni pun ada yang belum guna lagi. Baju ke tudung ke yang tak sempat nak pakai pun saya let go free. 

Orang kata kalau nak bagi barang kena bagi barang yang kita sayang kan. Kalau ikutkan semua sayang sebab beli guna duit sendiri kot hehe. Bukan mudah nak cari duit walaupun seringgit. Tapi style saya sayang barang tu bukan jenis susah gilerrr nak lepaskan. Dah benda tak guna buat apa nak simpan. Gituuuu konsepnya, kita sayang rileks rileksss ajurrr.

Kalau barang hilang pun saya bukan jenis yang mengenang dan meratapi kehilangan. Apa lagi barang yang kita tahu kita bagi pada siapa.

Beginilah seorang Nik Azidah. Saya buat apa saja yang memberikan ketenangan pada diri because I LOVE MYSELF SO MUCH!


Callebaut Untuk Buat Belgium Cookies

Apo niiiii? Inilah Callebaut iaitu Belgian chocolate. Bahan utama yang digunakan untuk buat Belgium Cookies. Kalau takde ini bukan Belgium Cookies namanya hehe. 

Baunya memang sedap okay. Huiiii dia punya coklat memang rasa betul lemaknya sebab peratusan coklatnya yang agak tinggi.

Korang nak tau, setiap kali nak buat cookies, wajib masuk sebijik dua dalam mulut sebab sedap sangat hahaha, boleh makan macam gitu aje. Bila cookies dah siap bake, coklat ni akan menten cair kat dalam cookies.



15 October 2018

Psikologi Melibatkan Sains dan Profession

Pada hari ini, bidang psikologi melibatkan sains dan profession. Dalam bidang sains, sesetengah ahli psikologi terlibat dalam penyelidikan untuk menerokai ilmu pengetahuan baru. 

Dalam profession pula, ada ahli psikologi yang bekerja sebagai pendidik, yang berkongsi ilmu pengetahuan psikologi dengan para pelajar. 

Selain itu, ada yang mengaplikasikan pengetahuan psikologi untuk menyelesaikan beberapa masalah. Antaranya ialah melibatkan isu dalam bidang kesihatan mental, perniagaan, pendidikan, sukan, undang-undang, jenayah, pekerjaan, perkembangan manusia, dan lain-lain.

Mereka ini sama ada bekerja di bilik kuliah, makmal, pusat atau klinik psikologi, semua ahli psikologi bergantung kepada pemikiran kritikal dan maklumat yang diperolehi daripada penyelidikan saintifik.

Teruskan FOLLOW saya untuk mengetahui ilmu-ilmu penting tentang kehidupan peribadi, isu sosial, kerjaya, dan bisnes.

#NotaPsikologiMissNick

Hello Penggemar Coklat

Meleleh air mata penggemar coklat kalau dapat gigit cookies choc chip ni. Bukan sedih tapi gembira sebab sedap tak terkira. Mana nak cari cookies coklat selambak macam gini dengan harga mampu milik uols. Hanya di MissNick Kitchen saja ada. 😘



07 September 2018

BIG WHY Sebagai Penguat Semangat

Dalam bisnes ni kan minat sahaja tak cukup tau. Kita kena ada BIG WHY. Kenapa kita buat bisnes? Itu yang akan memberikan kita kekuatan.


BIG WHY saya adalah nak hidup senang. Haaa cakap terus terang tanpa berselindung. Bukan untuk diri saya seorang tapi untuk orang yang saya sayang, yang dah banyak berkorban untuk penuhi keperluan dan kehendak saya dari kecil sampai ke besar.

Lagi sebab saya nak bantu orang lain cari pendapatan dengan sediakan peluang buat bisnes bersama. Atau dengan peluang pekerjaan.

Lagi sebab saya teringin nak capai kebebasan kewangan dan kebebasan masa supaya saya boleh fokus buat kerja-kerja sosial. Dulu masa di universiti saya aktif ke sana ke mari dengan aktiviti tersebut. Lepas dah habis belajar, dah kerja ada buat juga cuma makin lama makin kurang. Komitmen kerja membatasi. 

Lagi sebab nak keluarkan zakat dan sedekah dengan lebih banyak. Sekarang mampu tiga angka sahaja sebulan.

Kita semua dilahirkan dengan kelebihan tersendiri. Carilah kelebihan itu untuk dapatkan kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya. Sampai bila nak berada di tahap yang sama?

Kena ingat, Allah tak akan ubah nasib kita kalau kita sendiri tak berusaha untuk mengubahnya. Jom kita sama-sama ubah kehidupan. 💗

Kenali Produk Sebelum Menjual

Dalam bisnes, nak redah boleh tapi biarlah redah dengan ilmu. Sebelum mula menjual, at least kena tahu asas dalam bisnes pun sudah cukup. Ilmu lain nanti tambah kemudian ketika bisnes sudah berjalan.

Ramai yang buat silap sebab gelojoh. Dia dok nampak duit duit duit, aku nak kaya. Tapi zero knowledge tentang produk, hardsell memanjang. Lepas tu tanya kenapa iklan tak ada orang response. Apabila zero knowledge, jiwa terhadap produk yang dijual juga kosong.


Apa asas untuk kenali produk? Pertama, niche produk. Kedua, kategori produk. Ketiga, jenis produk.


>> Contoh niche produk - makanan/fesyen/kecantikan/kesihatan
>> Contoh kategori produk - cookies/tudung bawal/krim penghapus jerawat/pusat dialysis
>> Contoh jenis produk - fizikal/perkhidmatan


Haaa jangan nak fikir pasal duit semata-mata. Kenali produk dan letakkan jiwa sepenuhnya dalam bisnes. Nanti duit datang berjoget-joget masuk ke akaun rimau dan sotong.


Okay. Salam duit berjoget.



Jadilah Wanita Yang Beauty With Brain

Wahai kaum sejenis ku. Mana yang tengah berusaha nak jadi cantik, jadilah wanita yang beauty with brain. 

Beauty with brain, cantik sekali dengan pakej cerdik pandai, tak semestinya kena belajar tinggi ada degree, masters, PhD, kalau ada itu satu bonus. Konteks cerdik pandai yang dimaksudkan adalah kita mampu mengurus kehidupan dengan baik, mampu menggunakan akal fikiran dengan baik.

Bahasa mudahnya kalau nak buat apa-apa tolong fikir guna otak terlebih dahulu hehe gitulah.

Kadangkala malu tengok, telan macam-macam produk pemutih, mekap tebal, pakaian dah stylo, tapi sekali buka mulut ya rabbi suka mencarut dan bergaduh.

Saya kalau dengan students perempuan buat perangai pelik-pelik memang saya tegur direct, "Korang ni muka dah cantik, perangai biar senonoh sikit."

Lepas tu yang lelaki pun menyampuk, "Haaa dengar tu orang perempuan."

Saya pun sambung, "Korang yang lelaki pun sama, jangan dok datang kelas bawa apa yang melekat kat badan jer, pen pun pinjam perempuan punya, malu sikit."

Dua-dua kena, dan missnick pun sambung mengajar macam biasa. Hahaha.



Psikologi Adalah Merawat Orang Gila!

“Awak belajar kat universiti ambil course apa?”

“Ambik course psikologi.”

“Ehhh awak nak kerja apa dengan course tu? Mesti kena kerja dengan orang gila kan.”


Inilah persepi yang saya hadapi sejak 2005. Sebut sahaja psikologi mesti orang kaitkan dengan merawat orang gila. Ishhh!

Sepanjang bekerja dalam bidang psikologi sejak 2011, macam-macam soalan ditanya. Jadi jawab sahajalah dengan tenang. Nanti orang ingat kau pula yang gila hehe. 

Psikologi ialah satu bidang yang mengkaji tentang tingkahlaku, emosi, dan proses mental manusia secara saintifik.

Secara jelasnya, bidang ini fokus kepada manusia, dari segi luaran dan dalaman. Kiranya lengkaplah tentang manusia. 

Isu suami isteri kerap bergaduh, bertekak, dan bertetak pun boleh dijadikan bahan kajian. 

Bos nak uruskan pekerja pun kena tahu psikologi. Ya lah lain pekerja, lain ragamnya. Dengan memahami psikologi pekerja, akan memberi kesan positif kepada pembangunan organisasi.

Orang bisnes juga sama, dalam berurusan dengan pelanggan kena ada ilmu psikologi, tahu yang asas pun sudah cukup. Kalau tahu yang advance lagi bagus.

Haaa nampak!

Bidang psikologi ini penting lebih-lebih lagi pada zaman sekarang. Ya tengoklah keadaan masyarakat di sekeliling kita, ramai yang menghadapi pelbagai jenis masalah dan konflik kehidupan. Tetapi tidak mendapat perhatian kerana ia tidak difahami secara mendalam.

Akibatnya wujudlah isu seperti masalah sosial di kalangan remaja, penagihan dadah, amuk, membunuh diri, pelajar bermasalah, kemurungan, masalah dalam bisnes atau pekerjaan, dan pelbagai lagi masalah lain yang melanda manusia.

P/S: Boleh kongsi info ini untuk manfaat bersama. Nanti saya sambung lagi, Insya Allah.


#NotaPsikologiMissNick


Ayam Panggang Madu Style Malas dan Nak Cepat

Teringin nak makan grill chicken sebenarnya tapi malas nak blend segala bawang dan serai hehe. Nak cepat sebab jenis tak sabar nak makan. Maka jadilah Ayam Panggang Madu Style Malas dan Nak Cepat. 😂


Caranya ialah campur jintan manis, jintan putih, sedikit garam, serbuk kunyit, sos tiram, dan madu. Gaulkan, perap, dan grill atas non stick pan. Ini memang malas betul ni, segala bahan-bahan itu pun main campak-campak saja

Perap lebih kurang sejam tau nak bagi bahan-bahan tu sebati dengan ayam. Kalau time rajin biasanya saya perap lama sikit ayam tu lagi wowww sedap dia. Ohhh lagi satuuu isi ayam tu kelar-kelar sikit. 

Masa grill tu selalu balik balikkan ayam macam kita guna arang supaya tak rentung bahagian luar. Hasilnya bila dah masak ayam akan nampak berkilat dan juicy. 

Walaupun versi malas tapi ya ampunnn sedap okay. Saya makan ayam tu dengan nasi panas kosong, gaul dengan sambal hitam Pahang.

Lain kali saya share ayam panggang versi rajin dan tak malas ya. 🤣










Coklat Chip Boleh Cair Tak Masa Bakar?

Siap sedia nak masuk dalam oven.


"Coklat chip yang berlambak tu tak cair ke masa bakar dalam oven?"


Boleh cair kalau suhu oven tinggi sangat. Pernah jadi tau hahaha. Ada satu hari tu saya bersihkan oven, lepas tu knob suhu terpusing lupa nak betulkan balik di kedudukan asal.

Hari yang sama juga saya bake cookies coklat chip. Terus masukkan tray dalam oven, tak tengok dah suhu tu dok nombor berapa. Tak lama tu bau hangit. Ya amponnnn cookies aku 😂😂😂. Cookies rentung dan coklat chip jadi cair. Satu tray buang macam tu aje tau.

Tak tau la rasa macam mana, takut nak try haha. Sebab kalau yang normal punya rangup, ada rasa coklat dan rasa karamel sikit. Itu yang penggemar cookies asyik dok repeat order saja.



05 September 2018

In The Making Of Scottish Shortbread Cookies

Scottish shortbread cookies pulok malam ni. Tak sabar nak tengok hasilnya. Yesss cookies jenis ni terletak pada butter sebagai bahan penyedap rasa yang utama. Dan memang guna butter yang banyak pun berbanding cookies lain. Pure butter pulak tu.


Dag dig dug di dalam dada. Jantung berdebar hati berbunga... amboiiii. 😆



04 September 2018

Produk Keperluan VS Produk Keinginan

Kenal pasti adakah produk yang kita jual itu jenis keperluan atau keinginan. Ini dapat membantu kita apabila nak buat marketing. Dan produk jenis keinginan boleh bertukar jadi keperluan jika betul gayanya.
.
Sebab itu ilmu sales and marketing sangat penting. Kalau tak nak labur masa, tak nak labur duit untuk dua ilmu tu memang kita akan ketinggalan jauh. Game bisnes online sangat laju. Kalau masih menunggu yang free, hai hai bye bye lah jawabnya.
.
Fahami game bisnes online! Fahami game bisnes online! Supaya kita semua boleh berenang bersama-sama.



Adunan Double Chocolate Cookies Yang Sangat Wangi!

Tak boleh tahan dengan bau adunan double chocolate chip cookies ni. Bau lemak-lemak, bau coklat, hurmmm wangi! Rasa macam nak ambik sikit masuk dalam mulut hahaha. Okay sabarrr tunggu masuk oven dulu.







27 August 2018

Manusia Tidak Boleh Hidup Bersendirian

Manusia tidak boleh hidup bersendirian. Allah jadikan kehidupan kita di dunia ini saling memerlukan antara satu sama lain.

Tidak ada istilah orang kaya tak perlukan orang susah. Tidak ada istilah orang pandai tak perlukan yang kurang pandai. Hebat macam mana pun kita masih memerlukan orang lain untuk minta pertolongan dan ringankan kerja kita.

Contohnya...

Kau hebat dalam memimpin syarikat korporat, tetapi kau masih perlukan khidmat cleaner untuk cuci tandas pejabat.

Kau pakai kereta mewah, tetapi kau masih perlukan khidmat mekanik untuk baiki kereta tersebut jika ada kerosakan.

Kau pelajar cemerlang semasa di universiti dan ada pekerjaan yang bagus, tetapi kau masih perlukan khidmat guru untuk mengajar anak-anak kau.

Kau ada duit yang banyak, tetapi ketika sakit kau masih perlukan khidmat doktor dan jururawat untuk menjaga dan merawat.


Jadi tak perlu nak sombong, angkuh, dan bongkak dengan apa yang kita ada. Kita manusia sama sahaja. Ada amanah dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan sebelum menutup mata. Sombong, angkuh, dan bongkak tidak ke mana dan tidak menjadikan diri kita dipandang tinggi pun. 



26 August 2018

Resepi Nasi Goreng Daging Black Pepper

Daging yang dibeli sebelum ni pun ada lagi dalam peti ais. Tambah pula dengan daging korban yang mak bekalkan dari kampung. Maka mendaging aje la daku dua tiga minggu ni huhu. Nampak missnick nampak lembu, nampak missnick nampak lembu. Haaa kau jangan buat pasal!

Marilah tengok macam mana nak masak nasi ni. Senang yang amat weh.


BAHAN-BAHAN:

2 genggam daging (dipotong kecil)
Nasi putih (2 pot beras)
5 biji bawang merah (ditumbuk halus)
4 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
3 sudu besar sos black pepper
2 sudu besar sos tiram
Minyak masak untuk menumis
Sedikit air
Bahan perasa (garam atau serbuk perasa)


CARA MEMASAK:

1. Perap daging dengan sos black pepper dan sos tiram.
2. Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau.
3. Masukkan daging yang diperap tadi. Goreng sekejap, kemudian masukkan sedikit air. Masak sehingga daging empuk.
4. Selepas itu, masukkan nasi ke dalam kuali. Masukkan bahan perasa dan gaul rata.
5. Tadaaaa siap. Boleh tutup api, masukkan nasi dalam pinggan dan makan.


Kalau ada sayur boleh letak sayur. Saya tak letak sayur sebab sayur takde muahaha. Belum keluar rumah lagi sejak sampai di KL dari kampung semalam. Okay selamat mencuba.



01 August 2018

Coklat Chip Cookies Yang Tidak Bermusim

Hari tu ada yang tegur, huiiii dah habis raya pun production cookies masih jalan lagi ke. Ehhh awak cookies kita ada sepanjang tahun tau. Raya tak raya missnick pulun ajer. Tekak orang Malaysia ni dia tak ada musim. Selagi ada selera dia makan ajer. Betul tak? Haha.

Selamat menjamu mata dengan coklat chip cookies dari MissNick Kitchen ya. 😋



Selamat Datang Ogos!

Sikap yang positif mampu mengubah banyak perkara dalam kehidupan kita. Pemikiran yang positif apabila digabungkan dengan tindakan yang positif bakal membawa kejayaan yang besar kepada kita.


Selamat datang Ogos! Bulan baru, semangat pun baru! Semoga segalanya baik-baik sahaja. 


Dannn juga semoga aku lebih rajin update blog lepas ni. Haha! Yaaaa bila dah lama tinggal beginilah jadinya. Macam terlupa tau.  Kalau facebook dengan instagram tu tak pernah tinggal. Dalam sehari entah berapa kali aku update. 


Aku cuba ya. Aku cuba. 😉



16 July 2018

Bila Nak Open Order Coklat Chip Cookies?

“Missnick bila nak open order choc chip cookies? Lama nauuu cuti raya. 



Huiiii dah buka la awak. Haaa mana yang kempunan sebelum raya hari tu, nak order tapi dah tutup haha, bolehlah order sekarang. Order lebih sikit tau, balas dendam sebab tak sempat yang hari tu. 😍



10 July 2018

Sudah Setahun Lebih Rupanya Berniaga Cookies

Throwback sikit. Inilah antara production cookies masa awal MissNick Kitchen memulakan bisnes cookies tahun lepas. Kiranya baby forever la ni, menjadi kesayangan gitu. Sudah setahun lebih berlalu rupanya. Cookies dalam gambar ni dibuat pada 25 April 2017. 

Inilah signature cookies dari MissNick Kitchen. Crunchy cookies dengan coklat chip bertaburan. Gigit-gigit rasa coklat. Gigit-gigit habis. Ehhh memang la habis kalau digigit haha.



Resepi Cucur Bilis Rangup Di Luar Lembut Di Dalam

Berturut-turut tujuh hari saya pergi beraya sana sini oiiiiii. Macam tak larat dah nak tengok juadah raya. Haha. Ada ke yang sama macam saya? 

Kalau ada jommm kita mengadap makanan legend turun temurun iaitu cucur bilis. Korang pun boleh buat untuk minum petang nanti. Dah lama saya guna resepi ni sebab….sedappp! Hehe maaf ler terpuji masakan sendiri pulak.


RESEPI CUCUR BILIS RANGUP DI LUAR LEMBUT DI DALAM

Bahan-bahan:

3 cawan tepung gandum
2 1/3 cawan air atau secukupnya
1 biji bawang besar Holland (dihiris atau potong dadu)
1 genggam ikan bilis (bersihkan dan toskan)
1 biji telur
1 sudu teh soda bikarbonat
Sedikit garam

Cara-caranya:

Campurkan semua bahan-bahan kecuali air dan telur. Gaul bagi rata dulu bahan-bahan tu dalam satu bekas. 
Masukkan telur dan air sedikit demi sedikit. Jangan pergi humban semua sekaligus pulak. Masuk sikit, kacau, masuk sikit, kacau. Haaa gitu la sampai air tu habis. Kacau adunan sampai sebati dan rehatkan sekejap dalam setengah jam macam tu.
Lepas tu macam biasa la panaskan minyak dalam kuali. Ambil adunan cucur tu guna sudu dan masukkan ke dalam minyak panas. Nak guna scoop pun boleh. Suka hatilah, jangan guna senduk dah la besar sangat tu.
Cingggg…goreng sampai kekuningan. Cucur ni cepat masak tau jadi korang jangan sibuk nak main fesbuk ke instagram ke. Kalau tak jadi la macam saya. Tengok gambar cucur yang dah masak tu, ada kekuningan, ada yang dah hampir nak kecoklatan. Nasib baik tak hangit.
Dah masak tu toskan minyak. Boleh dimakan dengan sos cili atau sambal kicap. Saya suka dua-dua, kalau sos cili siap tambah mayonis lagi. Settle! Selamat mencucur dengan gembiranya!


P/S: Kalau nak tambah sayur kangkong, cili, atau kucai ikut suka hati. Resepi asasnya sama sahaja.





 

09 July 2018

Apabila Coklat Merasuk Diri

Tak tau berapa kali dah ulang alik pergi dapur. Ambik sebijik masuk bilik sambung kerja. Lepas beberapa kali ulang alik, nahhh kau akhirnya angkut bekas letak atas meja kat bilik kerja. 😂

Jangan suruh pm, saya tak jual. Ini saya beli di Choc Stop Mitsui Outlet KLIA. Ada beberapa jenis, yang ini dark chocolate. Dalam setiap coklat ni ada sebiji almond. Harga RM22, 500gm. 


MissNick,
Pencinta Coklat Tegar


Apa Sahaja Pekerjaan Buatlah Dengan Bersungguh-Sungguh

Haiiii selamat pagi Isnin. Selamat bekerja, selamat bekerja, dan selamat menguruskan rumah tangga. Sedikit perkongsian pagi ini....


Apa sahaja pekerjaan halal yang kita lakukan, asalkan bersungguh-sungguh, insya Allah akan dapat rezeki yang melimpah. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh juga kita boleh mengubah taraf kehidupan kita.

Pedulikan la orang nak cakap apa pun. Nak cakap kita ni kerja macam kuli ke, kerja macam nak hidup 1000 tahun lagi ke, gila duit ke, pedulikan! Yang berada di tempat itu adalah kita, bukan orang lain.

Asalkan kita tak lupa diri, tak lupa Allah, tak buat benda salah, teruskan sahaja usaha dan perjuangan sehingga dapat apa yang kita nak. Insya Allah segalanya dipermudahkan. 



04 July 2018

Bercinta Dengan Produk

Tajuk tak nak kalah kan. 😆


Tak kenal maka tak cinta. Gituuuuu. Apa maksudnya? Nak jatuh cinta mestilah saling mengenali. Betul? 

Begitu juga kita dalam bisnes, untuk pastikan aktiviti jualan dapat dilakukan dengan baik, memang wajib kenal produk sebaiknya supaya kita jatuh cinta dengan produk itu.

Kalau kita tak kenal produk dengan baik, macam mana kita nak terangkan kepada customers secara baik. Kadangkala ada customers yang suka tanya macam-macam soalan sebelum beli. Apabila kita dapat terangkan dengan baik, customers akan terpikat. 

Kalau penerangan kita pun tergagap-gagap, tanya itu ini tak boleh jawab dengan baik, boleh buat mereka tak yakin nak membeli. 

Nampak tak kenapa ada yang pada awalnya nak beli satu, tiba-tiba beli lebih. Ada yang dah berminat, tiba-tiba tak jadi beli. Inilah salah satu faktornya, iaitu product knowledge yang ada pada penjual.

27 June 2018

Manusia Hanya Merancang Tapi Perancangan Allah Tetap Yang Terbaik

Sehebat mana pun kita merancang, perancangan Allah adalah yang terbaik.

Dulu-dulu kannn minat giler nak jadi polis. Tinggi dah terlebih, semua cukup la. Satu je kurang, mata rabun teruk. Hahaha. Maka aku pasrah aje la.

Dulu-dulu kannn tak pernah terfikir pun nak jadi pendidik. Orang tua suruh ambil course pendidikan pun euwwww memang tak nak. Bukan apa, aku ni level singa, risau pulak karang ada anak murid yang patah hidung tercabut telinga.

Ehhhh tetiba tercampak dalam bidang pendidikan, dan aku masih setia di sini, dah 7 tahun uolsss. Tak nak tak nak, elak macam mana pun dah Allah kata itu rezeki kita tetap jadi rezeki kita. Terus melekat jatuh cinta tak boleh berpisah uiiiii. Panjang ceritanya. Nanti ada masa aku throwback kisahnya.

Aku memang suka berkongsi ilmu dari dulu lagi, masa zaman tak minat jadi pendidik lagi dan Allah telah campakkan aku di jalan yang betul iaitu dengan menjadi pendidik. Lagi luas ilmu yang dapat disebarkan.

Banyak yang aku belajar dari kehidupan ini. Sebab itu apabila perancangan aku tak menjadi, aku tenang je, sebab aku tahu Allah nak bagi yang lebih baik lagi. Ini yang aku pegang untuk elak dari menggelabah sedih di bucu katil. Kalau niat kita betul, akan ada sinar yang terang di hujungnya.



Ambik Mood Nak Kembali Aktif Menulis Tentang Ilmu

Sejak sibuk mengadap oven, dah lama giler saya tak share ilmu bisnes dan lain-lain ilmu dalam bidang dan pengetahuan saya. Setakat tips tu ada la sekali sekala. Maksud saya ilmu yang boleh korang praktikkan terus.

BLOG PUN TERBENGKALAI. KAHKAH! Nampakkkk siap capslock lagi tu. Blog aje la yang dianaktirikan, facebook dan instagram tetap superduper aktif macam biasa.

Bila dah lama tak share ilmu di media sosial ni kan, rasa lain macam, rasa macam ada tanggungjawab yang tidak disempurnakan sebaiknya. Hahaha gitu uols. Memang di luarnya kerja saya mengajar, tapi saya dah niat nak kongsi juga ilmu di media sosial.

Itu yang bila lama tak buat, datang satu perasaannnnn macam tak buat kerja sebaiknya. Macam jatuh KPI gitu. Okay minggu ni saya cuba start balik ya, dah plan nak share pasal apa. Harap bermanfaat untuk yang memerlukan. Kalau saya tak buat, jangan segan silu untuk ingatkan saya. 😆



Throwback Masa Mula Jual Cookies

Ini gambar setahun yang lepas masa awal-awal buat bisnes cookies. Lepas tu tukar balang penutup hitam, asyik habis stok je balang tu dan susah nak jumpa. Lepas tu tukar ke penutup putih.


Dannnnn dekat nak raya hari tu terpaksa kembali ke penutup merah sebab lain-lain habis stok, itu je yang tinggal. Haha. Sebab itu untuk order raya hari tu ada yang dapat penutup merah ada yang dapat penutup putih. Lepas ni kita kembali ke putih balik ya. Ku putih ku putih barulah putih. Eh tiberrr!



14 May 2018

Pilihan Raya Umum 14

Posting throwback lagi. Tapi belum basi lagi kan hehe. Masa kat kampung mana la sempat nak mengadap blog bagai.

Alhamdulillah berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk sekian kalinya. Dia punya semangat tu lain macam tau untuk PRU kali ni.

Punya la semangat sampai comot-comot jari celup dakwat haha. Lepas pangkah baru perasan. 

Kita simpan kat blog ye jari comot ni sebagai tanda kenangan. Masa PRU 13 takde gambar sebab memang tak ambik. Masa PRU 12 saya tak mengundi sebab masa tu kat Sabah, tengah study jadi no ongkos la untuk terbang balik mengundi.

Apa pun Alhamdulillah. Siapa pun yang memerintah, semoga dapat buat yang terbaik. Siapa pun yang memerintah, kita tetap kena kerja kuat untuk diri sendiri dan keluarga. Nak lebih kena usaha lebih, bukannya mengharapkan bantuan sana sini.

Mana yang baik saya sentiasa menyokong sebab SAYA SAYANG MALAYSIA 💗



Order Crunchy Chocolate Chip Cookies Raya Sudah Dibuka

Amboiiii panjangnya tajuk haha. 

Alhamdulillah untuk minggu pertama bulan Mei, order crunchy choc chip cookies dapat 65 bekas. Sudah melepasi target mingguan. Jadi minggu ni kita pulunnnn lagi bagi hit target.

Berpeluh uiiiii nak siapkan. Maklum ler buat kat rumah je guna oven sebijik. Sambil risau takut oven rosak time malam-malam buta haha. Mana nak cari oven baru time macam tu. Kalau pergi beli esok pun belum tentu ada sebab kadangkala oven besar ni nak kena tunggu dua tiga hari baru dapat. 

Terkejar-kejar jugak la nak siapkan order sebabnya nak balik kampung untuk mengundi. Semangat uolsss sampai comot-comot jari celup dakwat hehe.

Cuti mengundi sudah habis, masa melepak rehatkan diri pun dah habis. Hari ni sambung balik operasi siapkan order. Sebab time cuti tu saya ambik je order cuma tak boleh dapat cepat la. Bagitau siap-siap minggu ni baru dapat.

Okay korang, order raya dah dibuka tau. Sampai bila? Tak ada tarikh tutup tapi bila-bila masa sahaja akan ditutup sehingga cukup kuota.


Untuk order sila whatsapp ke 019-3464793


Harga? RM25 sahaja sebekas. Berat 275-280 gram.


Berapa pieces sebekas? Lebih 70 pieces.

15 March 2018

Big Why

Kalau ikutkan hati saya memang nak duduk goyang kaki je kat rumah ni.

Kalau ikutkan hati buat bisnes on off on off ikut mood pun tak apa. Sebab dah ada income lain yang agak selesa.

Tapi sampai bila saya nak selesa dengan cara begitu?

Ini turning point yang menguatkan saya untuk terus cekal dalam bisnes. Kalau ikutkan rasa hati dan rasa penat, dah lama saya down, dah lama saya melayan perasaan malas nak buat betul-betul dengan ilmu yang betul.

Tak ada sesiapa pun yang push saya. Tak ada sesiapa pun yang membebel nasihat tentang kejayaan. Tak ada sesiapa pun yang remind itu ini masa saya lemau. 

Pernah la ada rasa lemau sekali sekala tapi saya tak layan. Lemau sekejap je lepas tu bangkit sendiri. Saya kuat sebab saya ada impian yang agak besar. Kena ingat, Allah tak akan ubah nasib kita kalau kita sendiri tak berusaha untuk mengubahnya.

Kalau nak tunggu orang push, nak tunggu orang bebel, kau ingat orang ada masa nak fokus kat kita je selalu. Habis tu kalau orang tu dah tak kuasa nak melayan kita, maka mereputlah kau tak ada semangat sampai setahun.

Dalam bisnes ni kan minat sahaja tak cukup tau. Kita kena ada BIG WHY. Itu yang akan memberikan kita kekuatan.

BIG WHY saya adalah mak ayah, keluarga, dan suami.

BIG WHY saya nak capai kebebasan kewangan dan kebebasan masa.

BIG WHY saya nak bantu orang untuk hidup bahagia. Bahagia tanpa serabut fikir masalah duit. 

BIG WHY saya nak keluarkan sedekah dan zakat dengan lebih banyak berbanding sekarang.

BIG WHY saya nak lahirkan orang bisnes yang berilmu.

Kita semua dilahirkan dengan kelebihan tersendiri. Carilah kelebihan itu untuk dapatkan kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya. Sampai bila nak berada di tahap yang sama?

5 KESILAPAN ORANG BISNES DI MEDIA SOSIAL

1. Guna bahasa yang prospek tak faham. Tulis iklan bagai nak rak, tapi bahasa tu bombastic sangat. Prospek tak ada masa dik non nak pikir apa benda yang kita tulis. Contohnya guna bahasa teknikal.


2. Bahasa yang tidak sesuai masa bermesej dengan prospek. Jangan sesuka hati panggil orang ‘yunk’ ‘darling’ bagai. Ada yang tak suka termasuk la saya. Boleh terbantut niat nak membeli kalau dipanggil macam tu. 

Ada perkataan-perkataan tertentu yang hanya sesuai digunakan sesama kita je, dengan orang lain yang kita tak kenal jangannn. Panggil dengan panggilan yang sesuai, biasanya dari nak beli satu dia akan beli dua. Kecuali la kalau prospek yang start dulu panggil awak dengan panggilan ‘yunk’ ‘darling’ tu semua.


3. Senyap sunyi di laman sosial. Dah namanya bisnes online kena la aktif buat online marketing. Status jarang update, engagement pun tak buat. Dah tu macam mana orang nak tau kita jual apa kalau tak ada usaha nak tonjolkan diri. 

Saya cakap macam ni sebab dah jumpa, belajar macam-macam ilmu tapi satu benda ni dia tak buat. Memang langsung tak ada sales.

Kalau malas nak aktif di media sosial baik jangan buat online bisnes. Kalau banyak duit, boleh buat fb ads, lepas tu ambil staf untuk close sales, untuk reply komen-komen. Hurmmm tapi kalau owner pun tak tau apa-apa, nanti kena caras dengan staf.


4. Iklan 24 jam. Lepas tu tanya kenapa wall fesbuk dia krik krik krikkk. Tanya diri balik, awak suka tak kalau asyik kena kejar dengan promoter? 

Macam tu la friends kita di fb, penat asyik tengok iklan produk je, macam tak ada benda lain. Maka mereka pun unfollow awak, nak unfriend tak sampai hati. Fb personal adalah tempat bersosial, jangan over sangat menjual. Pandai-pandai la cari ruang dan masa yang sesuai untuk update tentang produk.


5. Suka meroyan atau marah-marah tak tentu pasal. Iya faham kita manusia ni kadangkala gagal mengawal emosi. Kalau hati tengah mendidih cuba jauhkan diri dari media sosial. 

Kalau nak marah sekalipun elakkan dari maki hamun dan mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya. Ini boleh menjatuhkan kredibiliti sebagai orang bisnes. Prospek pun takut nak membeli kalau seller asyik dok tunjuk perangai lagu tu.

Let It Go

Hidup kita ni macam baca buku. Kita tak boleh masuk topik baru sekiranya kita masih ulang baca topik yang lalu. 

Contohnya buku itu ada 35 topik. Baru sampai topik 10, kita undur balik baca topik-topik yang sebelumnya berulang kali. Sedangkan penyelesaian kepada masalah kita dan perkara yang manis-manis berada di topik yang ke 35.

Begitu juga realiti kehidupan, kita tak boleh mulakan yang baru sekiranya kita masih mengenang perkara lalu yang menyakitkan.

Let it go! Let it go! Haaaa jangan menyanyi ala ala cerita Frozen tu pulak kihkih.

Nak let it go sesuatu perkara dalam hidup kita memang payah, lagi-lagi kalau perkara itu memberikan kesan yang mendalam sampai ke lubuk hati. Tapi sampai bila?

Nak melepaskan memang sakit. Tetapi sakit itu akan menjadi berganda-ganda jika kita masih menyimpannya.

Fikir fikirkan. 💞

21 February 2018

Diari Gaya Hidup Sihat 1

Dah banyak hari tak keluar jogging, workout kat rumah je joget-joget depan laptop heheh. Pagi ni rajinkan diri keluar jogging, target macam biasa 5 kilometer. 

Dulu kannn ya ampun menyampah tahap gaban dengan jogging. Suka buat aerobic dance aje, itu pun tak konsisten. 

Sejak ada kesedaran tentang gaya hidup sihat ni saya cuba pelbagaikan aktiviti senaman supaya tak bosan. Sebab dah konsisten bersenam sekarang, takkan nak buat senaman yang sama aje kan. 

Jadi jogging 5 kilometer tu dah jadi kebiasaan, dulu rasa mustahil sangat, macam jauh sangat. Sebab tu la jangan menyampah sangat nanti jatuh cinta. Kihkihkih. 



19 February 2018

Allah Tidak Akan Mengubah Keadaan Sesuatu Kaum Sebelum....

Nak sesuatu mesti usaha sehabis baik. Sayangi diri sendiri dan tolong diri sendiri. Kalau tak ubah sikap, sampai bila-bila kita akan berada pada tahap yang sama.

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah diri mereka sendiri. (Ar-Ra’d 13: 11)

Saya doakan kita semua sentiasa diberikan kekuatan untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik. Insya Allah.



15 February 2018

Resepi Pak Choy Goreng Kicap

Haiiii saya kembali mengupdate resepi untuk tatapan perut dan bagi idea untuk sesiapa yang dah tepu tak tahu nak masak apa.

Hek elehhh masak sayur pun nak share ke. Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala? Ehhh salah. Anda ingat semua orang reti masak sayur ke?

Sekejap sangat masak ni tau. Sebenarnya nak masak pak choy sos tiram tapi sos tiramnya habis hahaha. Terpaksa la ganti dengan kicap. Pun bolehhhh 😁


Bahan-bahannya:

✅ 2 pokok pak choy (potong, asingkan bahagian batang dan daun)
✅ 3 ulas bawang putih (dicincang)
✅ setengah biji bawang besar Holland, nak letak sebiji pun boleh (suka hati nak potong macam mana, tak ada betul tak ada salah)
✅ 10 biji meatball (boleh je nak ganti dengan udang, sotong, isi ayam)
✅ garam secukup rasa
✅ sedikit air
✅ sedikit kicap manis (lebih kurang 4 sudu makan)


Cara-caranya tengok video ye. Boleh #SHARE untuk manfaat bersama. Kau orang balik kampung kan, haaaa boleh masak untuk mak mentua, konpem jadi menantu kesayangan nanti. Selamat mencuba. 😍





20 January 2018

Apa Itu Air Detoks?

Air detoks adalah apa-apa resipi air yang disediakan untuk membantu menyingkirkan toksin dari sistem dalaman badan dan meningkatkan tahap kesihatan kita.

Sesetengah resipi air detoks mempunyai bahan-bahan yang bermanfaat yang membantu badan kita dalam beberapa cara (seperti meningkatkan metabolisme), tetapi bahan utama detoks pastinya adalah air.

Apa yang dilakukan oleh air detoks ke atas sistem badan kita? Masih belum ada jawapan berapa banyak minuman ini membantu mengeluarkan toksin dari badan kita.

Tetapi dengan meminumnya, ia akan membekalkan badan dengan vitamin dan nutrien yang akan menjadikan kita lebih sihat, lebih cantik dan juga dapat meningkatkan tenaga.

Next time saya akan kongsi resepi air detoks ya. Ada baaaanyak resepi jadi boleh buat mana yang kita suka dan kena dengan selera. 


Jumpa lagi dalam post akan datang. Tataaa!


Kredit gambar dari Google

18 January 2018

Apa Itu Detoksifikasi

Detoksifikasi bermaksud menghilangkan bahan-bahan berbahaya yang menyebabkan ketagihan, seperti alkohol dan ubat-ubatan. Selain itu, perkataan detoksifikasi juga mempunyai makna tambahan lain.

Detoksifikasi telah berkembang dengan makna tersendiri dalam bidang kesihatan yang menggunakan bahan-bahan semulajadi. Melakukan proses detoks bermakna mengeluarkan bahan berbahaya dari badan, persekitaran, dan diet kita.

Terdapat pelbagai jenis bahan berbahaya yang terdedah kepada kita sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ini boleh memudaratkan kesihatan dan mungkin dapat mengurangkan daya ketahanan badan.

Melalui proses detoksifikasi, kita boleh menyingkirkan bahan berbahaya yang terkumpul yang menganggu sistem dalaman badan.


Bersambung...


Kredit gambar dari Google

Tips Atasi Masalah Penat Selepas Balik Dari Kerja

Ramai yang mengeluh selepas balik kerja penatnyaaa alahai. Ada yang sampai je di rumah terus terbongkang depan tv.


Apa nak buat ya untuk kekal bertenaga walaupun selepas balik dari kerja? Okay jom baca, semoga bermanfaat untuk semua.

😍 Tidur yang cukup dan berkualiti pada waktu malam.
😍 Minum air kosong yang banyak ikut jumlah keperluan badan.
😍 Amalkan pemakanan yang sihat.
😍 Berjalan atau bersenam selepas waktu kerja. Bagi cergas sikit badan tu.
😍 Jangan terlebih bekerja. Hidup kena seimbang.
😍 Uruskan stress dengan baik.


Semoga bermanfaat!


Kredit gambar dari Google

17 January 2018

Tips Atasi Masalah Kelemumur dan Kulit Kepala Kering

Tips kecantikan malam ini kita fokus pada rambut ya. Khas untuk mereka yang mempunyai masalah kelemumur dan kulit kepala kering.

Sudah cuba pelbagai jenis syampu tapi masih tak berkesan. Masalah kelemumur macam tu juga, dah macam rupa salji turun memutih di baju. Hihi. 

Apa kata cuba bertukar kepada petua dari bahan semulajadi iaitu dengan menggunakan lemon. Okay jom kita tengok macam mana nak buat sendiri masker rambut di rumah. 

Campurkan minyak kelapa atau minyak zaitun atau madu dengan dua sudu besar jus lemon. Sapukan pada rambut atau kulit kepala dan urut secara rata. Kemudian cuci bersih dengan menggunakan syampu. 

Ulangi tips ini sehingga masalah kelemumur anda hilang.

Selamat mencuba!





Kredit gambar dari Google

14 January 2018

Scrub Untuk Bersihkan Muka Dan Badan Dari Sel Kulit Mati

Jom kita main DIY lagi dengan menggunakan bahan semulajadi iaitu lemon. 

Kali ini kita fokus kepada membersihkan muka dan badan dari sel kulit mati. Selain itu juga dapat mencerahkan dan melembapkan kulit.

Caranya ialah campurkan ½ biji jus lemon, ½ cawan gula pasir, 1 sudu makan minyak zaitun, dan 1 sudu makan madu. Kalau tak cukup boleh tambah lagi.

Gaulkan bahan-bahan tersebut sehingga sebati, dan kepekatannya boleh diubahsuai mengikut citarasa sendiri.

Kemudian gosokkan scrub tadi pada badan. Bagi tumpuan lebih pada bahagian sikut, lutut, tangan, dan kaki, kerana bahagian ini biasanya mudah kering dan gelap. Untuk scrub bahagian muka pula, gosokkannya secara lembut. 

Lemon dapat mengetatkan pori muka dan meratakan warna kulit. Gula dapat membuang sel-sel kulit mati dan membersihkan liang pori. Minyak zaitun dapat menghilangkan parut jerawat dan madu membantu atasi masalah jerawat.

Hari ni cuti kan. Jadi bolehlah spend masa merawat wajah dan badan, barulah licin gebu toink toink. 


Kredit gambar dari Google

Lemon Membantu Atasi Masalah Kulit Berminyak

Hai kembali lagi dengan program cantik bersama lemon. Gituuuu! Banyak betul rahsia best di sebalik sebiji lemon ni.

Sesiapa yang alami masalah kulit berminyak mesti tak selesa kan? Muka berminyak boleh membawa kepada masalah jerawat dan lain-lain. Mekap juga tak tahan lama.


Okay jom kita tengok bagaimana lemon membantu mengatasi masalah kulit berminyak.


Ambil sedikit jus lemon dan letak pada kapas muka. Boleh lakukannya pada waktu malam sebelum tidur. Sapukan di seluruh muka atau di kawasan yang berminyak sahaja. Kemudian cuci muka seperti biasa pada keesokan pagi.

Cara yang kedua ialah jadikannya sebagai masker. Campurkan satu biji putih telur dengan satu sudu jus lemon. Sapukan pada muka dan tunggu sehingga kering. Kemudian cuci muka seperti biasa. Bagi mereka yang alergik dengan telur tidak digalakkan.

Selamat mencuba! 


Kredit gambar dari Google