Hidup Menderita Jika Tidak Ada Kesedaran


Kesedaran diri adalah milik peribadi yang tidak dapat dirampas atau dikawal oleh sesiapa pun.

Orang yang tidak mempunyai kesedaran akan berterusan hidup dalam penderitaan dalam tempoh yang panjang, sebab dia tak nampak jalan. 

Contohnya seseorang yang menghadapi masalah di tempat kerja. Setiap hari dibuli dan terpaksa hadap permainan politik dalam organisasi sehingga menyebabkan tekanan.

Tapi dia takut nak bertindak. Takut hilang pekerjaan, takut hilang sumber pendapatan, takut nak mencuba peluang lain. Akibatnya setiap hari pergi kerja dalam keadaan sedih, murung, dan tertekan.


Sama juga dalam rumah tangga. Ada yang menderita berbelas tahun sebab suami panas baran dan kaki pukul. Tapi dia takut nak bertindak sebab bagi dia suami adalah segalanya, takut hilang tempat tinggal, takut hilang tempat bergantung, takut anak-anak kehilangan bapa.


Orang yang ada kesedaran, walaupun hidupnya menderita, namun penderitaan itu tidak berlarutan. Kerana dalamannya kuat dan dia percaya suatu hari nanti pasti dia akan bahagia dengan kehidupannya.

Dia berusaha untuk keluar dari penderitaan. Dia tahu apa yang perlu dibuat dan kuat untuk bangkit walaupun terpaksa bermula dari kosong.


Kawan…

Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Bahagia atau sebaliknya, semuanya atas pilihan dan kesedaran yang ada pada kita.

Hidup ini singkat. Fokus jaga diri dari segi mental, fizikal, dan emosi. Kalau kita tak jaga siapa lagi nak jaga. Sayangi diri, jangan zalimi diri kerana diri kita ada satu sahaja, tidak ada ganti yang lain.