Bidang Psikologi Merawat Orang Gila


Bidang psikologi merawat orang gila?


Dulu dulu kan orang selalu tanya saya, “Awak belajar di universiti ambil course apa?”

Saya pun jawab, “Ambil course psikologi.”

Lepas tu ada la yang tanya, “Awak nak kerja apa dengan course tu? Mesti kena kerja dengan orang gila kan.”



Inilah persepi yang saya hadapi sejak 2005. Ketika ini saya berada di tahun pertama degree. Sebut sahaja psikologi mesti orang kaitkan dengan merawat orang gila.

Sepanjang bekerja dalam bidang psikologi sejak 2011, macam-macam soalan ditanya. Jadi jawab sahajalah dengan tenang. Nanti orang ingat kau pula yang gila hehe. Ye lah orang bertanya sebab tak tahu dan berminat nak tahu.

Saya okay je kalau orang tanya, seronok boleh berkongsi dan bertukar-tukar ilmu. Biasalah, jiwa pendidik katanya, tak pernah padam sehingga ke hari ini. Gituuuu! 


Psikologi ialah satu bidang yang mengkaji tentang tingkahlaku, emosi, dan proses mental manusia secara saintifik.

Secara jelasnya, bidang ini fokus kepada manusia, dari segi luaran dan dalaman. Kiranya lengkaplah tentang manusia. 

Isu suami isteri kerap bergaduh, bertekak, dan bertetak pun boleh dijadikan bahan kajian. 

Bos nak uruskan pekerja pun kena tahu psikologi. Ye lah lain pekerja, lain ragamnya. Dengan memahami psikologi pekerja, akan memberi kesan positif kepada pembangunan organisasi.

Orang bisnes juga sama, dalam berurusan dengan pelanggan kena ada ilmu psikologi, tahu yang asas pun sudah cukup. Kalau tahu yang advance lagi bagus.


Haaa nampak!

Bidang psikologi ini penting lebih-lebih lagi pada zaman sekarang. Ye tengoklah keadaan masyarakat di sekeliling kita, ramai yang menghadapi pelbagai jenis masalah dan konflik kehidupan. Tetapi tidak mendapat perhatian kerana ia tidak difahami secara mendalam.

Akibatnya wujudlah isu seperti masalah sosial di kalangan remaja, penagihan dadah, amuk, membunuh diri, pelajar bermasalah, kemurungan, masalah dalam bisnes atau pekerjaan, dan pelbagai lagi masalah lain yang melanda manusia.


Sebenarnya bidang psikologi ni bukan setakat belajar dan bekerja dalam bidang kesihatan mental sahaja. Bidang ni sangat luas asalkan ianya berkait dengan tingkah laku. Bukan hanya tingkah laku manusia yang dikaji, tetapi juga tingkah laku haiwan. Pasal tingkah laku haiwan tu saya tak belajar, jangan tanya tau.

Saya memilih bidang psikologi ini pun sebab saya punya curiosity atau perasaan ingin tahu tentang manusia tu tinggi. Jadi kalau orang tanya kenapa ambik bidang psikologi? Nak kerja apa?

Sebenarnya untuk diri sendiri supaya saya boleh gunakan ilmu tersebut ke arah kebaikan. Jenis pekerjaan itu nombor dua, yang utamanya adalah ilmu untuk dibawa sepanjang hayat. Namun begitu, alhamdulillah saya dapat bekerja dalam bidang psikologi. Sekarang, walaupun dah berhenti dan bekerja sendiri, saya masih membaca untuk tambah ilmu dalam bidang berkenaan.