Apa itu Psikologi?


Belajar psikologi boleh pukau orang ke?

Dulu-dulu ingat lagi orang selalu tanya saya, kalau belajar psikologi, adakah kita boleh memukau atau membaca fikiran orang? 

Ini adalah antara tanggapan yang tidak benar tentang psikologi yang selalu kita dengar.
Sesetengah orang beranggapan mereka yang belajar psikologi ini mampu memanipulasi, pandai membaca fikiran, dan pandai meramal nasib orang lain.

Jadi, apa sebenarnya maksud psikologi?

Istilah psikologi (Psychology) berasal dari gabungan dua perkataan Greek iaitu “psyche” yang bermaksud jiwa, mental, atau minda, dan “logos” yang bermaksud pengetahuan atau kajian. 

Jadi, psikologi adalah satu kajian secara saintifik tentang tingkah laku dan proses mental manusia.

Psikologi mengkaji dua jenis tingkah laku utama

1. Tingkah laku overt (overt behaviors) - Tingkah laku yang boleh dilihat atau diperhatikan secara langsung. Contohnya makan, tidur, bercakap, tingkah laku agresif, dan sebagainya.

2. Tingkah laku covert (covert behaviors) - Tingkah laku terselindung yang tidak boleh dilihat secara langsung. Contohnya berfikir, mengingat, dan berimaginasi.


Melalui psikologi, kita dapat memahami dengan lebih baik tentang emosi, personaliti, tekanan, kecerdasan, motivasi, perkembangan manusia, terapi, memori, dan pelbagai aspek lain dalam kehidupan manusia.

Jika anda jenis yang sering tertanya-tanya tentang tingkah laku manusia, kenapa seseorang bertindak begitu atau begini, maka psikologi mungkin ada jawapannya.

Kebanyakan daripada kita, termasuk saya sendiri, pasti ada perasaan ingin tahu tentang kenapa seseorang hilang motivasi untuk bekerja, kenapa seseorang mudah terjebak dengan ketagihan, kenapa ada yang tiba-tiba bertindak agresif, dan sebagainya.

Jika anda ingin memahami tingkah laku manusia dengan lebih mendalam, psikologi adalah bidang yang sesuai untuk dipelajari. Ia membantu kita memahami diri sendiri dan orang lain dengan lebih baik.

Belajar psikologi nanti kerja kena handle pesakit mental ke?

Ada yang beranggapan bahawa bidang psikologi hanya berkaitan dengan masalah kesihatan mental sahaja. Jadi, jika belajar psikologi bermakna perlu bekerja dengan pesakit mental.

Tidak semestinya. Sebenarnya, kesihatan mental hanyalah salah satu cabang dalam psikologi, yang berada di bawah subbidang psikologi abnormal dan psikologi klinikal.

Psikologi merangkumi banyak lagi subbidang lain, seperti biopsikologi, psikologi forensik, psikologi perkembangan, psikologi pendidikan, psikologi sukan, psikologi kaunseling, psikologi industri, dan sebagainya.

Belajar psikologi boleh jadi kaunselor?

Ada juga yang beranggapan jika belajar psikologi boleh buat sesi kaunseling. Tak, bukan macam tu. Mempunyai ijazah dalam psikologi tidak bermakna kita layak untuk menjadi kaunselor.

Bidang kaunseling dan psikologi adalah berbeza. Lain kali saya cerita secara terperinci tentang topik ini.




Boleh tak ajar saya ilmu psikologi?

Psikologi adalah satu bidang akademik yang memerlukan pendidikan formal dan bukan boleh dipelajari secara santai sahaja.

Jika sekadar ingin tahu perkara asas, Google boleh membantu.

Namun, untuk mendalami bidang ini secara serius, belajar dengan lebih mendalam, dan bekerja secara profesional, kita perlu dapatkan pendidikan secara formal di mana-mana institusi pendidikan yang diiktiraf.

Bidang psikologi: applied vs. research 

Psikologi terbahagi kepada dua kumpulan utama:

1. Applied Psychology - Aplikasi ilmu psikologi yang diperolehi daripada penyelidikan ke dalam dunia sebenar. Tujuannya adalah untuk menyelesaikan masalah berkaitan isu kesihatan mental, sosial, pendidikan, bisnes, sukan, pengurusan organisasi, dan sebagainya.

2. Research Psychology - Kajian secara saintifik yang dilakukan oleh penyelidik psikologi. Tujuannya adalah untuk memahami dengan lebih mendalam atau mendapatkan ilmu baru tentang tingkah laku dan proses mental.


Kesimpulannya, ahli psikologi yang berada di pelbagai lapangan, sama ada yang bekerja dalam kelas, makmal, hospital, atau organisasi, mereka berpegang pada pemikiran kritikal dan ilmu pengetahuan yang diperoleh dari penyelidikan saintifik untuk memahami dan membantu individu serta masyarakat.

______________________________________________________________________________________________________

Tulisan ini pertama kali diterbitkan pada 14 Jun 2021 dan telah dikemas kini pada 9 Disember 2024.