Pandanglah Apa Yang Ada Dalam Pinggan Kita


Rezeki bukan hanya dalam bentuk harta benda sahaja, ia meliputi pelbagai aspek kehidupan.

Tak semestinya yang kaya itu Allah sayang jadi rezekinya melimpah ruah, yang miskin itu rezekinya susah nak masuk sebab Allah tak suka dia ke apa. Tidak! Kalau dah usaha bagai nak rak, tapi setakat itu sahaja yang tertulis nak buat macam mana, itulah bahagian rezeki kita.

Walau tak kaya harta, Allah tetap akan bagi kekayaan dari segi lain. Rajin berusaha itu pun dah dapat pahala. Lagi satu, walau tak mewah duit berjuta, bila kita rajin Allah akan cukupkan segala keperluan. Dan kena ingat ada orang yang tak senang di dunia tapi senang di akhirat.


Ada sahaja orang kaya yang hidupnya tak tenang, takut hartanya habis, sakit sana sini, tak dapat nak menikmati hidup dengan baik.

Ada sahaja orang miskin yang diberikan kesihatan yang baik, anak-anak yang mendengar kata, tak sibuk meeting sana sini jadi boleh solat awal waktu berjemaah, dan pelbagai nikmat lain.

Apa sahaja yang memberikan kita manfaat, itu adalah rezeki kita. Jadi orang kaya ada rezeki dia, orang miskin pun ada rezeki dia. Allah dah buat cantik elok semuanya. Orang kaya atau miskin, masing-masing ada kelebihan.

Tak perlu bandingkan kehidupan dengan orang yang lebih dari kita. Orang ini beruntung sebab kaya, kita bernasib malang sebab miskin. Kalau asyik nak banding memang sampai mati pun tak habis. Lepas tu tekanan sebab asyik merungut padahal elok je ada rezeki cukup makan minum.


Ya kebanyakan orang ada impian untuk jadi kaya, tapi jangan jadikan kekayaan harta sebagai penanda aras kejayaan, sehingga kita terlupa nikmat lain yang ada di depan mata kita.

Jika mampu untuk memikul amanah dan tanggungjawab sebagai orang berharta, usahalah. Tak salah pun, asalkan tak jadi orang berharta yang kedekut. Lagi bagus bila ramai orang Islam berharta, boleh buat pelaburan untuk saham akhirat. Selain itu, salah satu kekuatan Islam adalah melalui sumber ekonomi.


Dan tak salah juga jika memilih untuk hidup seadanya. Asalkan rajin bekerja. Bukannya bangun tengahari, malas bekerja lepas tu salahkan takdir hidup miskin. Haaa orang macam ni elok time dia tengah tidur tu kita keliling beramai-ramai sambil baca Yasin.

Kesimpulannya, pandanglah apa yang ada dalam pinggan kita, bukan sibuk tengok pinggan orang lain.


Image by Alexa from Pixabay