Suri Rumah Sepenuh Masa vs. Isteri Berkerjaya


Setiap kali timbul isu penderaan anak oleh pengasuh, isteri terkapai-kapai tiada tempat bergantung selepas pemergian suami, dan seumpamanya, pasti ada pergaduhan di antara suri rumah dan wanita berkerjaya. Kau mengata, aku mengata kau, konon hidup dia la yang paling bertuah hahaha.

Yang suri rumah sepenuh masa bangga sebab dapat menjaga anak sendiri 24 jam. Yang berkerjaya bangga sebab ada duit, tak ada masalah kalau suami tiba-tiba pergi, sama ada meninggal dunia atau kena sondol.


Begini, mari sini nak bagitahu. Kita suri rumah sepenuh masa atau berkerjaya, kedua-duanya sama sahaja taraf. Tak adanya yang ini tinggi, yang ini rendah.

Apa yang penting adalah bersyukur dengan kehidupan yang kita ada sekarang. Dan terus berusaha untuk jadikan ia bertambah baik.


Wanita yang berkerjaya tidak perlu memandang rendah pada suri rumah hanya kerana tiada pendapatan tetap. Bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik nikmat kita bekerja dan jadikan kita suri rumah sepenuh masa.

Apa sahaja boleh berlaku, contohnya hilang upaya untuk bekerja, syarikat bankrap, dan sebagainya.


Suri rumah pula tidak perlu perlekehkan isteri berkerjaya, nanti anak kurang kasih sayang begitu begini. Bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik nikmat melihat anak membesar depan mata dan kita terpaksa bekerja untuk meneruskan hidup.

Apa sahaja boleh berlaku, contohnya tiba-tiba dari senang jatuh miskin, suami meninggal, suami lari kahwin dengan perempuan lain, dan sebagainya.


Hidup ini adalah pentas ujian. Sama-sama kita saling beringat yang hidup ini ada naik turun, tak selamanya kita berada di atas. Jaga diri sendiri dan hormati pilihan orang lain.