Segala Nikmat Adalah Rezeki


Pernah tak dulu korang rasa hidup serba kekurangan? Ada saja perkara yang dirasakan tak cukup, rasa hidup tidak sebaik orang lain, sering merungut dan mengeluh. 

Apabila dah meningkat dewasa, setelah melalui pelbagai pahit manis pengalaman dalam kehidupan dan berlakunya proses kematangan, biasanya baru kita sedar bahawa selama ini kita adalah antara manusia yang paling bertuah.

Hidup sentiasa dilimpahi rezeki, maksud saya segala nikmat yang kita dapat adalah rezeki. Apa sahaja yang memberi manfaat kepada kita juga adalah rezeki. Nikmat yang paling seronok masa zaman kanak-kanak ialah bebas bermain dengan teman sepermainan tanpa rasa takut.


Ibu bapa dan keluarga adalah rezeki kerana tanpa mereka siapalah kita.

Dijodohkan dengan pasangan yang baik dan sempurna di mata kita adalah rezeki kerana itu dapat menyejukkan hati.

Pendidikan yang kita dapat bermula dari tadika sehingga berjaya menjejakkan kaki ke universiti adalah rezeki, melaluinya kita berjaya mendapat pekerjaan dan gaji yang menarik.

Ilmu perniagaan yang dimiliki adalah rezeki sebab bukan semua orang mampu dan mempunyai semangat juang dalam berniaga.

Kemahiran menjahit, mereka pakaian, memasak, membuat kek, bertukang, membaiki peralatan mesin, dan sebagainya adalah rezeki kerana bukan semua orang memilikinya, dan dengan kemahiran tersebut pelbagai manfaat yang akan diperolehi.

Kereta yang kita miliki adalah rezeki kerana telah memudahkan kita untuk bergerak pergi ke tempat kerja, keluar berniaga, pergi ke majlis-majlis ilmu, dan sebagainya.

Tubuh badan yang sihat adalah rezeki sebab apabila sihat kita mampu untuk melakukan pelbagai jenis pekerjaan.


Apa sahaja ilmu bermanfaat yang kita miliki adalah rezeki kerana melalui ilmu tersebut kita dapat membantu orang lain ke arah kehidupan yang lebih baik.


Image by lumix2004 from Pixabay

Dilahirkan sebagai Islam adalah rezeki, begitu juga dengan Al Quran yang menjadi pegangan hidup kita adalah rezeki kerana kalau betul-betul menghayatinya terlalu besar ganjaran yang akan kita perolehi. Insya Allah sama-sama kita perbaiki diri. Saya juga masih dalam proses menghayati maksud setiap ayat suci ini, berbanding dulu hanya sekadar baca tanpa memahami maksud di sebaliknya. 

Udara, makanan, tempat tinggal juga adalah rezeki kerana tanpa udara dan makanan kita akan mati, dan tanpa tempat tinggal tidak tahu apa yang akan jadi pada kita.

 

Banyak lagi sebenarnya rezeki yang ada dalam hidup dan di sekeliling kita. Hanya orang yang berfikir sahaja akan nampak hakikat rezeki tersebut.

Jom sama-sama berfikir dan buka mata, lihat sekeliling, dan nikmatilah hidup ini dengan gembira.