Bahaya Self-Diagnose Penyakit Mental


Sepanjang aku bermain di padang media sosial, aku tengok ada yang membuat diagnosis sendiri tentang penyakit mental dengan merujuk kepada maklumat dari Google semata-mata.

Dia melihat ciri-ciri yang dirujuk berpadanan dengan apa yang dialami, terus claim diri ada penyakit mental.

“Oh aku ada penyakit kemurungan”…”Aku ada bipolar disorder”….”Aku ada anxiety disorder”

Lepas tu ada juga yang menggunakan alasan tersebut untuk mengelak dari tanggungjawab, contohnya di tempat kerja. Itulah antara sebab masih wujud stigma negatif terhadap penyakit mental, dan yang mendapat tempiasnya adalah mereka yang betul-betul sakit.


Jangan diagnosis sendiri penyakit mental, ia agak bahaya sebab:


1. Apabila membuat diagnosis sendiri, seseorang itu akan menganggap bahawa dia mengetahui setiap inci perkara berkaitan penyakit tersebut. Seterusnya membuat kesimpulan bahawa ia adalah benar tanpa ada bukti yang sah.

Contohnya, orang yang jenis ‘mood swing’ (perubahan mood atau emosi yang tiba-tiba) menyangka bahawa mereka ada penyakit kecelaruan bipolar. Sedangkan simptom ‘mood swing’ juga wujud pada penyakit ‘borderline personality disorder’ dan ‘major depressive disorder’.


2. Bahaya yang kedua ialah seseorang itu menyangka bahawa dia mempunyai sakit mental, hakikatnya dia mengalami sakit fizikal. Hal ini disebabkan ada penyakit fizikal yang mempunyai simptom seperti penyakit mental.

Ada beberapa penyakit fizikal yang menyebabkan seseorang itu mengalami masalah kecelaruan panik dan mudah berdebar. Contohnya, penyakit hipertiroidisme.

Selain itu, simptom kemurungan, psikosis atau perubahan personaliti juga terdapat pada penyakit barah otak.

Jadi kita membuat diagnosis dan cuba merawat sendiri semua simptom masalah mental yang dialami, kita mungkin akan terlepas pandang pada rawatan yang sepatutnya kita terima berdasarkan masalah sebenar yang dihadapi.


3. Seterusnya ialah seseorang itu mungkin berfikir bahawa dirinya mempunyai masalah yang lebih berat berbanding keadaan sebenar.

Contohnya, jika dia mengalami imsomnia, kurang tumpuan, dan kemurungan, dia mungkin berfikir bahawa dirinya mengalami kecelaruan tidur, ‘attention deficit disorder’ (ADD), dan ‘major depression’.

Sebenarnya, dalam ‘major depression’ sahaja sudah merangkumi semua simptom berkenaan. Hal ini akan memburukkan keadaan dengan risau tentang perkara yang tidak wujud.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ada beberapa lagi bahaya yang lain, tiga di atas adalah yang paling biasa berlaku. 


Jangan buat diagnosis sendiri sebab proses menilai dan mendiagnosis sesuatu penyakit mental tidak mudah, ia perlu menjalani proses yang panjang dan teliti. Bukan hanya melihat kepada simptom semata-mata.

Kesimpulannya, jika mempunyai masalah kesihatan mental sila rujuk kepada mereka yang ahli dalam bidang berkenaan.


Image by Jossué Trejo from Pixabay