Tiga hari lepas, pelakon Zarina Zainuddin ada memuat naik di laman Instagram beliau satu screenshot dari Wikipedia yang menyatakan anaknya gila dan pelbagai lagi perkataan yang biadap.
Tak lama kemudian, segala maklumat jahat tersebut telah dibuang dan disunting kembali. Inilah kelemahan Wikipedia, sesiapa sahaja boleh masukkan atau edit maklumat di laman tersebut. Kalau orang itu berniat jahat, maka jadilah fitnah.
Jadi jangan la telan bulat bulat segala maklumat dari Google. Sebelum nak guna atau terima, kita kena pastikan maklumat yang ditulis adalah benar dan tepat. Atau orang yang menulis sesuatu topik (yang khusus) itu ada kelayakan dalam bidang berkenaan.
Azal dan Azil tak gila. Mereka adalah anak autisme atau nama penuhnya ialah Autism Spectrum Disorder, dan autisme bukan sejenis penyakit mental.
Autisme (ASD) adalah gangguan perkembangan neurologi, yang akan memberi kesan pada perkembangan otak. Hal ini akan mempengaruhi kemampuan mereka dalam komunikasi, interaksi sosial, pembelajaran, dan menunjukkan tingkah laku yang berulang.
Ibu bapa yang mempunyai anak autisme pasti pening kepala kan bila orang mencadangkan macam-macam untuk anak. Makan itu makan ini dapat sembuhkan autisme. Katanya anak dia, anak jiran, anak buah, anak kawan pun dah cuba dan berjaya.
Okay yang pertama. Autisme bukan sejenis penyakit, jadi macam mana nak sembuh? Ia adalah gangguan pada otak yang menyebabkan otak mereka berfungsi dengan cara yang berbeza dari orang lain. Ada antara mereka yang belajar pandai dan memiliki tahap IQ yang agak tinggi.
Walaupun autisme bukan sejenis penyakit, namun intervensi awal sangat penting supaya mereka dapat belajar dan berkembang dengan baik.
Kedua, autisme adalah gangguan spektrum, sebab itulah namanya Autism Spectrum Disorder. Setiap anak-anak autisme tidak sama spektrum. Ada yang memiliki autisme pada tahap rendah, ada yang tahap sederhana, dan tahap tinggi.
Hanya yang ahli atau pakar dalam bidang berkenaan sahaja yang boleh melakukan diagnosis untuk mengetahui autisme tersebut pada tahap mana dan jenis terapi yang sesuai. Pendekatan untuk setiap anak autisme juga tidak sama mengikut spektrum.
Aku ada tengok satu video TikTok seorang ibu yang mempunyai anak autisme. Ada seorang penjual supplement ni sibuk la duk tinggalkan beberapa komen merapu tentang autisme, dengan fakta ke laut. Sambil itu dia duk promote supplement untuk sembuhkan autisme.
Lepas tu ada pula yang percaya. Naik hairan aku sebab si penjual tu mengeja pun banyak salah, ayat tunggang langgang, noktah, koma, tanda soal, tanda seru pun tak reti nak letak di tempat yang sepatutnya. Pening aku baca.
Teringat aku pada si DS Jelmaan yang jual rumah RM10 tu. Cakap lalok lalok, tak jelas, merapu, tanya lain jawab lain pun ramai yang percaya.