Apa sahaja teori yang ada dalam bidang psikologi, tujuan utamanya ialah untuk memahami dan membantu manusia dalam aspek-aspek yang tertentu.
Contohnya nak memahami dan membantu manusia mengubah tingkah laku atau untuk keluar dari masalah yang dihadapi. Semua ini ada peraturannya, tidak boleh sesuka hati sesedap rasa. Dalam psikologi kita panggil sebagai matlamat psikologi.
Ahli psikologi berpegang kepada empat matlamat dalam membantu manusia, iaitu mengklasifikasikan (gambaran awal), menjelaskan, meramal, dan mengawal tingkah laku manusia.
Contoh matlamat psikologi macam ini, tengok bawah ya. Penjelasan di bawah tidak terlalu terperinci, tetapi cukuplah untuk kalian faham secara asas tentang matlamat psikologi.
- DESCRIBE - Apakah jenis tingkah laku ini? (mengklasifikasikan atau gambaran awal)
- EXPLAIN - Kenapa tingkah laku ini berlaku? (menjelaskan)
- PREDICT - Adakah tingkah laku ini akan berlaku lagi? Bagaimana? Kenapa? Bila? (meramal).
- CONTROL - Bagaimana kita nak perbaiki tingkah laku tersebut? (mengawal atau mengubah)
1. DESCRIBE
• Mengklasifikasikan atau membuat gambaran awal. Dalam bahagian ini kita akan kumpul maklumat dengan tujuan untuk memahami sesuatu keadaan atau peristiwa atau tingkah laku. Maklumat ini dikumpul melalui pemerhatian secara saintifik.
2. EXPLAIN
• Memahami atau menjelaskan. Bahagian ini adalah untuk melihat punca atau sebab sesuatu tingkah laku itu berlaku. Maklumat ini boleh diperolehi dari penyelidikan secara saintifik.
3. PREDICT
• Meramal ialah kebolehan untuk menjangka sesuatu tingkah laku atau keadaan dengan tepat. Berdasarkan tingkah laku atau keadaan yang lalu, ahli psikologi akan meramal bagaimana perkara itu akan berulang kembali pada masa akan datang.
4. CONTROL
• Mempengaruhi atau mengawal. Bahagian ini bukannya untuk mengawal kebebasan seseorang. Mengawal dalam matlamat psikologi ialah untuk mengubah sesuatu tingkah laku atau keadaan supaya menjadi lebih baik atau positif.
Okay selesai bab matlamat psikologi. Jika dihurai lagi memang agak panjang. Bagi yang biasa membaca jurnal penyelidikan psikologi, kita akan nampak dengan lebih jelas tentang setiap satu matlamat berkenaan bersama contoh kes yang sebenar.