Apa Itu Kemurungan Klinikal atau Major Depressive Disorder (MDD)?


“Sabar ye, jangan depression depression lagi.”


Ini komen yang aku baca pada posting luahan hati seorang pesakit Major Depressive Disorder, atau biasanya kita sebut sebagai penyakit kemurungan atau depression.

Jika semudah dengan hanya bersabar boleh menghilangkan masalah kemurungan, maka tidak akan ada yang menderita sampai bertahun tahun lamanya.

Kemurungan bukan kesedihan. Kemurungan bukan sejenis emosi. Kemurungan adalah penyakit mental. Kesedihan boleh hilang dengan bersabar dan bertenang, tapi tidak bagi kemurungan.


Image by Anemone123 from Pixabay

Apa itu Kemurungan Klinikal atau Major Depressive Disorder (MDD)?

MDD juga dikenali sebagai kemurungan klinikal. MDD adalah masalah kesihatan mental, di mana ia boleh menjejaskan pelbagai aspek kehidupan seseorang. Ia memberi kesan ke atas mood dan tingkah laku serta pelbagai fungsi lain, seperti selera makan dan tidur.


Apakah Simptom Major Depressive Disorder? 

Anda mesti mengalami lima atau lebih simptom di bawah dalam masa 2 minggu atau lebih.

1. Rasa sedih, kosong, putus asa, atau mudah marah sepanjang hari, hampir setiap hari.

2. Kurang berminat dengan kebanyakan aktiviti yang pernah digemari sebelum ini.

3. Penurunan atau kenaikan berat badan yang ketara atau mempunyai perubahan dalam selera makan.

4. Menghadapi masalah untuk tidur (insomnia) atau mahu tidur lebih daripada biasa (hypersomnia), hampir setiap hari.

5. Mengalami perasaan gelisah.

6. Rasa letih yang melampau atau kekurangan tenaga, hampir setiap hari.

7. Rasa diri tidak berharga atau rasa bersalah yang berlebihan pada perkara yang tidak sepatutnya, hampir setiap hari.

8. Mengalami kesukaran untuk menumpukan perhatian, berfikir, atau membuat keputusan, hampir setiap hari.

9. Berfikir tentang mencederakan diri sendiri atau membunuh diri.


Apa Punca Berlakunya Major Depressive Disorder?

1. Gabungan faktor genetik dan tekanan boleh mengganggu bahan kimia dalam otak, dan menurunkan keupayaan untuk mengekalkan kestabilan mood.

2. Perubahan dalam keseimbangan hormon.

3. Penggunaan dadah dan alkohol.

4. Masalah kesihatan tertentu, seperti penyakit kanser atau hipotiroidisme.

5. Penggunaan ubat tertentu, termasuk steroid.

6. Penderaan semasa zaman kanak-kanak.


Jika anda mengalami simptom seperti yang dinyatakan, sila dapatkan penilaian dan diagnosis dari doktor bertauliah untuk tindakan selanjutnya. Walaupun MDD boleh menyebabkan seseorang itu hilang semangat dan mudah berputus asa, namun masalah ini boleh dirawat. Harapan sentiasa ada.