Syukur dan Refleksi Diri


Ada tempat berteduh yang sempurna, makan pakai cukup. Ada anggota badan yang lengkap tanpa sebarang kekurangan walaupun sedikit. Tapi masih tak happy, masih rasa serba tak kena. Macam mana nak buat ya?

Perbuatan bersyukur dapat meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan mental, serta menjadikan kita lebih gembira dan bahagia.

Antara cara yang kita boleh amalkan untuk meningkatkan rasa syukur adalah dengan melakukan refleksi diri, iaitu merenung kembali setiap apa yang pernah kita dapat dalam hidup. Ini cara yang aku buat. Kalau ada cara lain yang awak buat, boleh kongsikan.

Apabila sentiasa bersyukur, kita jadi seronok dengan apa yang ada di sekeliling. Setiap hari yang dilalui sangat bermakna, kita tak peduli dengan kekurangan yang ada, kita gunakan kelebihan yang ada untuk tingkatkan lagi kualiti hidup, kita jadi seorang yang ada keyakinan diri.


Contohnya, kita bersyukur walaupun berkulit hitam manis, tapi kita sihat dan dikelilingi oleh orang yang baik. Orang suka berkawan sebab kita ada personaliti yang hebat dan menarik.

Kenapa aku bagi contoh pasal warna kulit? Sebab ada sesetengah orang dia rasa insecure kalau tak putih melepak. Dia rasa orang tak suka dia. Padahal ramai je orang cantik dan putih tak disukai sebab perangai menjengkelkan.

Okay contoh lain. Kita bersyukur walaupun suami tak kaya raya tapi dia sentiasa ada bersama kita. Makan pakai kita cukup. Rajin membantu uruskan hal rumah tangga.




Aku pernah berada pada titik yang paling rendah dalam hidup. Jadi ini adalah cara yang aku praktikkan untuk pujuk hati dan kembali bangkit. Duduk bersendirian, renung balik apa yang aku ada, dan apa yang pernah dicapai sepanjang hidup.

Ya sampai hari ni aku buat. Sebab aku ni bukanlah seorang bermotivasi tinggi dan bersemangat waja setiap masa.

Apa pun semuanya perlu dilakukan secara konsisten untuk mendapatkan manfaat jangka panjang. Cari sesuatu yang harus disyukuri, rasa dengan sepenuh hati, dan nikmati perasaan itu.