Positive self-talk adalah amalan menggunakan bahasa yang positif apabila bercakap dengan diri sendiri. Ini adalah cara untuk kita menggantikan pemikiran negatif dengan kata-kata sokongan yang berbentuk positif, atau dalam bahasa lain ialah ucapkan yang baik-baik pada diri sendiri.
Kehebatan positive self-talk dapat membentuk minda, emosi, dan tindakan yang membawa kepada kehidupan yang sejahtera dan meningkatkan daya tahan mental.
Apa manfaat yang kita dapat apabila mengamalkan positive self-talk?
1. Meningkatkan Keyakinan Diri
Kata-kata yang positif pada diri membantu meningkatkan keyakinan diri dengan menanamkan kepercayaan terhadap kebolehan dan kekuatan seseorang.
Apabila kita melakukannya secara konsisten, kita dapat membangunkan persepsi diri yang lebih positif, yang boleh meningkatkan keyakinan dan harga diri kita secara keseluruhan.
2. Meningkatkan Daya Tahan
Percakapan diri yang positif dapat memainkan peranan yang penting dalam membina daya tahan, iaitu keupayaan untuk bangkit daripada kejatuhan dan kesukaran hidup.
Dengan menggunakan bahasa yang optimis ketika melalui fasa kehidupan yang mencabar, kita dapat memupuk mental yang berdaya tahan, membolehkan kita bertahan dan mencari penyelesaian daripada menyerah kepada negatif atau putus asa.
3. Mengurangkan Tekanan
Percakapan diri yang negatif boleh mendatangkan stress dan kebimbangan (anxiety) kepada diri, manakala percakapan diri yang positif boleh membantu mengurangkan kesannya.
Dengan menggantikan pemikiran negatif dengan mesej yang positif dan menenangkan, kita dapat tenangkan minda, mengurangkan tekanan, dan kekal positif walaupun dalam situasi yang sukar.
4. Motivasi dan Pencapaian Matlamat
Kata-kata yang positif kepada diri dapat meningkatkan motivasi dan mendorong ke arah pencapaian matlamat. Ia dapat menguatkan keupayaan kita dan memupuk minda yang percaya pada potensi diri untuk berjaya.
Pemikiran positif ini dapat menyemarakkan lagi motivasi dan keazaman dalam diri, yang membawa kepada peningkatan produktiviti dan pencapaian matlamat.
5. Meningkatkan Kesejahteraan Emosi
Percakapan diri yang positif dapat memberikan kesan positif kepada emosi dan kesejahteraan hidup kita secara keseluruhan.
Apabila kita mengucapkan kata-kata yang menaikkan semangat dan kekuatan pada diri, kita akan dapat menikmati emosi yang lebih positif seperti kegembiraan, harapan, dan kepuasan. Seterusnya dapat menyumbang kepada daya tahan emosi yang lebih kuat dan sudut pandangan yang lebih positif terhadap kehidupan.
6. Meningkatkan Kemahiran Dalam Menyelesaikan Masalah
Percakapan diri yang positif dapat membentuk pemikiran yang berorientasikan penyelesaian. Dengan memberikan tumpuan kepada kemungkinan yang positif dalam mencari penyelesaian, pemikiran kita akan menjadi lebih terbuka dan kreatif apabila berhadapan dengan cabaran.
Penting untuk diambil perhatian bahawa positive self-talk atau percakapan diri yang positif bukan bermaksud kita nak menafikan kesukaran atau kesusahan yang wujud sehingga membawa kepada toxic positivity.
Ini adalah tentang cara untuk kita membangunkan diri dan membina ketahanan mental ketika berhadapan dengan masalah atau kesukaran hidup. Mampu bertahan walaupun terumbang ambing. Mampu mencari penyelesaian walaupun perlu melalui jalan yang kelam. Mampu mempercayai diri walaupun di saat orang lain melihat sebaliknya.